BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, October 17, 2011

buat yang bergelar wanita:CANTIK


Cantik. Indah. Cinta. Bahagia. Ini adalah antara perkataan yang masih kabur tafsiran jika dilihat dari kaca mata makhluk bergelar manusia. Kerana ia melibatkan hati. Yang tafsirannya sangat subjektif. Ada yang kata hitam itu menawan, ada yang kata putih itu berseri. Ada yang meletakkan kombinasi hidung mancung dan kulit putih sebagai cantik. Ada yang mengatakan laut itu indah, ada yang mengatakan bandar yang penuh dengan bangunan konkrit itu menarik perhatian. Kerana lumrah manusia, rambut sama hitam, hati lain-lain. Perspektif setiap orang tidak sama.
Cantik. Jika saya berjalan dan bertanya kepada setiap orang dari rakan-rakan saya, pastinya pelbagai jawapan yang saya dapat mengenai bagaimana cantik itu akan nampak cantik di mata mereka. Jadi, tafsiran mana yang patut dinobatkan sebagai betul dan tepat? Sukar. Kerana makna bagi perkataan ini adalah subjektif. Jika ditanya satu tambah satu jawapannya berapa, mudah sekali mendapat jawapan yang tepat. Kerana soalan begini bersifat objektif. Namun bila berkisar tentang perkara yang melibatkan pendapat, lebih-lebih lagi bila ia melibatkan hati, mencari tafsiran yang pasti dari perspektif manusia adalah kerja sia-sia.
Mengapa sia-sia? Kerana kita takkan dapat menemui jawapannya. Baru sahaja kita faham bahawa cantik itu adalah dengan memiliki wajah yang lengkap bersolek, kita akan bertemu pula dengan pendapat yang berkata bahawa wajah yang cantik itu adalah wajah yang sentiasa dibasahi wudhu’. Dalam mencari, kita diberitahu cantik itu adalah dengan melepaskan rambut yang ikal itu dan biarkan ia beralun dengan langkah kaki yang sengaja dilenggokkan. Namun pada pertengahan pencarian itu, kita diajar pula bahawa yang cantik itu adalah yang menutup aurat dan menjaga maruahnya. Ada yang berkata pada kita, mata yang cantik itu adalah yang bundar dan bulat, ada pula yang berkata bahawa mata yang cantik itu adalah mata yang kuyu. Tatkala kita merasakan senyuman yang manis itu adalah yang ikhlas, ada yang lain berasa bahawa senyuman yang indah itu tak semestinya perlu ikhlas cukuplah jika orang yang senyum itu mempunyai rupa paras yang cantik. Tapi berbalik semula kepada tafsiran cantik itu, bagaimana kita dapat pastikan seorang itu cantik? Sukar untuk menjawabnya, dan mencari jawapannya juga adalah kerja sia-sia.
Faham maksud saya? Saya ingin tujukan semua ini pada sahabat-sahabat saya, kakak-kakak saya, dan adik-adik saya yang bergelar wanita. Kerana wanita telah cukup sinonim dengan kecantikan. Kecantikan inilah yang bisa menjadi duri paling tajam dan membinasakan, dan ia juga mampu menjadi keindahan yang mendamaikan. Bergantung pada pendirian dalam menetapkan maksud cantik itu sendiri. Percayalah berusaha untuk menjadi cantik dengan menjadikan tafsiran makhluk sebagai asas adalah kerja sia-sia dan merugikan. Kerana terlalu banyak pendapat, dan anda mungkin lemas dalam memenuhi kehendak menjadi cantik itu. Rugi.
Jika ada antara kita yang berusaha menjadi cantik demi memenuhi kehendak teman lelaki, berhentilah. Jika ada yang berusaha bermati-matian untuk memenuhi kehendak rakan-rakan kita bahawa cantik itu adalah dengan mempunyai tubuh badan yang langsing dan menggiurkan, kembalilah. Jika ada yang rasa bahawa untuk cantik itu adalah dengan berpakaian men’jerat’ tubuh, dihiasi perhiasan yang bergemerlapan dan harga sehelai baju juga mesti lagi mahal dari bajet makan untuk seminggu, sedarlah. Bukalah mata. Bukan kecantikan dari sudut pandangan itu yang kita cari. Bukan dari pandangan mata lelaki-lelaki yang bukan muhrim kita, bukan juga dari pandangan rakan-rakan kita, kerana mungkin hari ini kita dipuji cantik oleh mereka, tapi esok lusa kita mungkin tidak ubah seperti seorang nenek tua yang hodoh pada pandangan mata mereka. Kerana apa? Kerana hati mereka serapuh lapisan ais nipis di kutub utara, bila-bila sahaja ia boleh berubah. Jadi usah rugikan diri sendiri mengejar kecantikan di mata mereka. Dirimu begitu berharga. Tapi terpulang pada kita sendiri untuk memilih, mahu terus mekar dalam kecantikan yang mulia di sisi ALLAH atau menggadaikan maruah sendiri demi mengejar pujian manusia. Pilihlah. Pilihlah yang sebaiknya.
Nasihat saya, kejarlah kecantikan pada pandangan mata ALLAH. Kerana ia tidak bersifat subjektif. Ia jelas dan nyata. Tak perlu kos tinggi, mudah, indah dan menenangkan. Apakah kriteria untuk kelihatan cantik di mata ALLAH? Semua orang tahu rasanya. Tapi tegar membiarkan hati buta dek kerana mengikut nafsu yang menjadi raja. Rela membuat dosa dari jujur pada hati bahawa diri ingin kembali pada jalan Ilahi. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment